Aku tidak tahu akan kewujudan novel ini sehingga trailer mengenai filem Bisik Pada Langit mula ditayangkan di Astro. Jadi tertarik untuk menontonnya cuma sebelum itu, aku pasti ingin membaca novel.
Biasalah aku kan, membaca novel lebih diutamakan daripada menonton filem. Hihi.
Gigih aku telefon Popular Amcorp Mall untuk bertanya mengenai ketersediaan novel ini dan dipermudahkan caranya, novel ini masih ada di Popular. Aku terus pergi ke Popular selepas balik kerja. Ohh semestinya call Popular tadi untuk reserve novel ni π
Aku habis baca novel ni dalam masa dua hari saja. Cepat kan? Sebab tak sabar nak tahu kesudahannya. Dan satu lagi, nak habiskan baca novel sebelum tengok filem. Hii.
SINOPSIS
![]() |
Sila baca ^_^ Malas pulak nak taip sinopsis panjang berjela π |
REVIEW
Kasih ayah lebih tinggi daripada gunung dan sayang ibu lebih dalam daripada dasar lautan.
Secara jujurnya, aku tertarik untuk membaca novel ni kerana kisah pengorbanan seorang ayah (Wak Rosli). Tapi semasa dan selepas habis aku baca novel ni, aku tertanya-tanya di manakah pengorbanan seorang ayah yang dikatakan itu.
Dalam novel ini, aku melihat seorang ayah yang terlalu sayangkan Hajar sehingga mengabaikan dua orang anak lelakinya. Dengan alasan anak lelaki mesti kuat dan tabah dan tidak perlu dilayan beria-ia. Aku juga melihat seorang ayah yang ego dan masih utuh dengan pendiriannya sehingga tidak mempedulikan perasaan ahli keluarga yang lain.
Bagi Wak Rosli, hanya Hajar satu-satunya harta yang dia ada. Hmm bahagian ini aku tidak setuju. Mungkin aku menganggap diriku di tempat anak lelakinya (Zaidi dan Iqram) dan aku pasti sedih jika ayah yang kita hormat dan sayang tidak adil dan memilih kasih.
Namun begitu,
Novel ini penuh dengan pengajaran dalam kehidupan dan berjaya membuatkan air mata aku menitis juga di akhirnya. Walaupun aku tidak suka akan sikap Wak Rosli, namun aku faham perasaan seorang ayah yang melihat anaknya pergi dahulu sebelum dirinya π
JANGAN BEZAKAN KASIH SAYANG ANTARA ANAK
“Nab tahu tu bang tapi anak lelaki pun perlukan perhatian juga. Dia orang nampak kuat tapi kita tak tahu kalau-kalau jiwa dia memberontak bila tengok abang lebihkan Hajar. Saya pun sayangkan Hajar tapi jangan sampai kita abaikan anak-anak kita yang lain.”
Seperti yang aku katakan di atas, aku geram dan tidak suka dengan sikap Wak Rosli yang sentiasa lebihkan Hajar dalam setiap perkara. Sampai bab makan pun dia lebihkan Hajar di hadapan dengan anak yang lain. Hmm kalau aku jadi Iqram atau Zaidi, aku pasti terasa juga dengan sikap ayah sebegitu.
Wak Rosli merasakan bahawa anak lelaki mesti kuat dan tabah macam dia jadi dia tidak perlu tunjukkan kasih sayang yang beria-ia kepada anak lelakinya.
Tapi sedarkah Wak Rosli, yang mungkin anak dia memendam rasa? Iqram merasa disisihkan oleh ayah sendiri dan sentiasa merasakan ayahnya tidak ambil peduli dan sedar akan kewujudan dia. Aku yang baca novel pun rasa sedih bagi pihak Iqram. Nampak sangat ketidakadilan Wak Rosli dalam melayan anak.
Anak tidak perlu dibezakan. Alhamdullilah ayah dan mak aku tidak pernah membezakan anak. Aku nampak keadilan dalam ayah dan arwah mak aku dalam membesarkan kami empat beradik.
Ibu bapa perlu berlaku adil untuk semua anak tidak kira jantina anak. Masing-masing perlukan kasih sayang sama rata daripada ibu bapa. Aku belum ada rezeki zuriat sendiri. Sentiasa berdoa untuk rezeki zuriat dan dalam masa yang sama sentiasa berharap agar aku boleh bersikap adil untuk anak nanti. InsyaAllah.
PENGORBANAN KELUARGA TIDAK TERNILAIΒ
Β
Ibu bapa dan adik beradik sanggup berkorban untuk kita tanpa kita sedar. Cuma kadang-kadang kita took for granted. Minta dijauhkan daripada sikap begitu. Wak Rosli sentiasa berusaha supaya anaknya hidup dalam keadaan yang baik. Tidak kaya cuma cukup serba serbi dalam hidup.
Begitu juga dengan abang Hajar, Zaidi. Sanggup memberi Wak Rosli menggunakan duit simpanannya dalam ASB yang berjumlah RM6000++ untuk pergi ke Australia melihat Hajar sedangkan duit itu dikumpul oleh Zaidi untuk melanjutkan pelajarannya.
Zaidi tidak dapat melanjutkan pelajaran selepas SPM kerana Wak Rosli sakit pada ketika itu dan dia sebagai anak sulung perlu bekerja untuk menyara keluarganya. Jadi dia kumpul duit untuk membiayai yuran pengajiannya kelak ππ»
MINAT MEMBAWA KEPADA KEPUASAN MEMILIKIΒ
Β
Apabila kita terlalu minat dengan sesuatu, kita akan nekad untuk dapatkannya walaupun susah dan mengambil masa yang lama untuk memilikinya. Betul kan? Biar lambat asalkan dapat apa yang kita nak dan paling penting sekali, kita tak menyusahkan orang lain.
Ini digambarkan dalam watak Hajar yang sangat suka superbike walaupun ditentang oleh Wak Rosli. Memiliki satu superbike adalah impian Hajar. Lalu dia bekerja sambilan di Australia dan berjaya memiliki satu superbike idamannya.
Begitu juga dengan kawan sebilik Hajar, Lina yang sanggup beli novel secara online walaupun kos penghantaran mahal dan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sampai.
Semuanya kerana minat. Apabila kita dapat memiliki sesuatu yang kita idam-idamkan dengan usaha sendiri, kita akan dapat kepuasan. Kepuasan untuk diri sendiri.
Dan orang lain yang tidak mempunyai minat yang sama agak sukar untuk memahami.
CINTAI SESEORANG DENGAN SEDERHANAΒ
“Allah. Dia yang paling utama dalam hidup awak dan saya. Dia wujud saat awak dan saya belum hadir ke dunia. Dia yang sering kita lupakan saat kita senang dan tempat kita mengadu saat kita rebah.” – Hajar
“Jangan terlalu mencintai saya sehingga awak lupakan siapa yang awak patut cinta. Cintailah saya dengan sederhana, boleh?” – Hajar
Kata-kata Hajar di atas sedikit sebanyak memberi keinsafan bukan saja pada Irwan malah untuk diri aku juga. Cintailah seseorang dengan sederhana. Jatuh cinta itu lumrah sudah namanya fitrah manusia cuma perlu sentiasa ingat bahawa cinta kepada manusia bukan segala-galanya.
“If the road ahead is not easy,Β
Lagu cinta bagi Hajar dan Iqram – Nothing’s Gonna Change My Love For YouΒ π
MATI ITU PASTI
“Kehidupan kita penuh misteri, awak. Kita takkan tahu bila hidup kita akan menemui noktahnya. Bagi saya hidup ni umpama sebuah karangan. Segalanya telah ditulis dan segalanya sudah dikawal. Tetapi apabila ia menemui penamat, tiada siapa yang dapat menyambungnya”- Hajar
PERCAYA QADA DAN QADAK ALLAH
“Walau sekuat mana pun kita berusaha, tapi kalau Allah tak tunjukkan jalan keluar, tu bermakna Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita usaha tapi tak letak sepenuhnya kepercayaan kepada Allah pun, tak boleh juga, ayah.” – Zaidi
Sering kita dengar ungkapan “usaha, doa, ikhtiar, dan tawakal” Β dan menjadi sebati dalam kehidupan kita seharian. Namun jika keadaan memaksa, kita boleh lupa akan ungkapan itu.
Perkara ini berlaku ketika proses membawa pulang jenazah Hajar dari Australia ke Malaysia. Wak Rosli sangat tidak sabar untuk melihat jenazah Hajar sehingga asyik memaksa anaknya, Zaidi dan Iqram untuk mengikut setiap katanya.
Sanggup nak jual satu-satunya harta pusaka yang dia ada, bersungguh nak pergi ke Australia sehingga tidak mempedulikan nasihat orang lain. Masa ni, serius, memang aku bengang je dengan perangai Wak Rosli. Seolah-olah hanya dia seorang saja yang kehilangan insan tersayang.
Nab (Mak Hajar), Zaidi dan Iqram sangat sabar dan berjaya membuatkan Wak Rosli berfikiran waras (akhirnya) dan percaya kepada qada dan qadak Allah.
Di saat beginilah, sokongan ahli keluarga amat diperlukan. Sayangilah keluarga anda π
REDHA DENGAN KETENTUAN ALLAH
Β
Sering juga kita mendengar ungkapan ini, “Allah tak akan menguji hambaNya di luar batas kemampuan setiap hambaNya kerana Allah mengetahui mana yang terbaik”. Ungkapan yang senang dilafazkan dan diingati tapi agak sukar untuk menghadamnya.
Pada mulanya, pasti sukar untuk menerima ujian yang diturunkan tapi lama-kelamaan, hidup kita sudah biasa dengan ujian itu dan tanpa kita sedar, kita akan mula melalui kehidupan normal semula.
Mengingatkan akan diri aku yang kehilangan arwah Mak ketika berusia 17 tahun. Setiap malam menangis di awal pemergian arwah Mak. Tangisan kerinduan. Masa berlalu dan lama-kelamaan, aku dapat menerima pemergian arwah Mak sepenuhnya.
Allah ada banyak cara untuk uji keimanan hamba Dia. Salah satu daripadanya adalah dengan kematian. Dengan meratapi kematian Hajar, itu takkan memberi kebahagiaan pada dia di sana. Sebaliknya, dia akan sakit. Sakit Β melihat orang yang dia sayang tak sepenuhnya lepaskan dia.
Babak Hajar dalam keadaan nazak meminta orang tersayang melepaskan dia sangat memilukan hati sehingga mengalir airmata π
Allah uji tanda Dia sayang. Allah uji tanda awak hebat. Allah uji tanda dia peduli. Dia ingin uji sejauh mana awak berharap pada Dia dalam kehidupan awak dan Dia hanya ingin ingatkan pada kita bahawa setiap yang ada di atas dunia ini adalah pinjaman. Begitu juga dengan nyawa dalam badan kita. Selama-lamanya bukan milik kita.
Seorang yang beriman; sama ada lelaki atau perempuan, akan sentiasa diuji oleh Allah. Sama ada ujian itu terkena pada dirinya sendiri, anaknya ataupun hartanya. Sehingga dia bertemu Allah dalam keadaaan tidak mempunyai satu dosa pun – (direkodkan oleh Tirmizi)
HIKMAH DI SEBALIK UJIAN ALLAH
Β
Bukan mudah untuk kita menerima jika nikmat Allah ditarik. Pada mulanya, mungkin kita akan mempersoalkan hal ini kepada Allah. Kita lupa melihat pada kebaikan setiap ujian.
Namun percayalah bahawa cepat atau lambat, hikmah itu bakal tersingkap. Kita perlu sabar dan sentiasa berfikir akan hikmah yang ada.
Dalam novel ni, Allah masih memberi kesempatan untuk Wak Rosli memperbaiki kesilapannya kerana jika Allah tidak mengambil Hajar daripadanya, mungkin dia masih tidak mempedulikan Zaidi dan Iqram.
Allah mengambil sesuatu yang berharga daripadanya agar dia menyedari akan nilai sesuatu yang lain yang selama ini tidak disedari oleh Wak Rosli.
Itulah hikmah di sebalik pemergian Hajar buat Wak Rosli.
RATING AND RECOMMENDATION
Rating: β β β β β
Jalan cerita berlandaskan kisah sebuah keluarga yang begitu dekat di hati kita serta gaya penulisan penulis yang menarik dan tersusun membuatkan aku memberi β yang penuh untuk novel ini.
Aku rekomen novel ini untuk dibaca oleh semua.
Tahniah kepada penulis Siti Khadijah kerana telah berjaya menghasilkan novel yang penuh dengan pengajaran =)
Tayangan filem Bisik Pada Langit akan mula ditayangkan pada 21 September 2017. Jom kita tonton sama-sama! Pasti boleh mengalirkan airmata. Bawa bekalan sapu tangan atau tisu ye ^_^