Kisah midnight movie bersama FIL pada hari Sabtu lepas. Kami bersama menonton filem Desolasi yang diarahkan oleh Syafiq Yusof dan hasil terbitan Skop Productions Sdn. Bhd. Filem ini bergenre Psyco Thriller / Fiksyen Sains. Pelakon utama adalah Syamsul Yusof, Bella Dally, Dato Jalaluddin Hassan, dan Pekin Ibrahim.
SINOPSIS
Aiman adalah seorang pelukis yang mengidap penyakit yang jarang ditemui iaitu “Anton Babinski”. Dia menjadi tidak tentu arah selepas ditimpa pelbagai masalah dalam hidup sehingga dia hampir mengalah dalam kehidupan.
Masalah yang menimpanya membuatkan Aiman selalu bergaduh dengan ayahnya. Satu hari, Aiman berdoa agar masalahnya hilang dalam sekelip mata. Keesokan harinya, apabila dia bangun tidur, dia dapati bahawa dirinya keseorangan. Semua manusia lenyap.
Pada mulanya dia mencari orang lain tapi selepas beberapa ketika, dia menjadi seronok kerana dia tidak perlu memikirkan masalah yang ada. Dia boleh melakukan segalanya tanpa perlu berfikir panjang.
Dalam masa yang sama, Aiman sebenarnya mencari jawapan kepada setiap persoalan yang hadir dalam hidupnya.
REVIEW
Jujur aku katakan filem ini BIJAK dan MENARIK. Bijak bermain dengan emosi dan akal fikiran penonton. Bijak dalam segi jalan penceritaan yang akhirnya membuatkan penonton memahami secara menyeluruh akan pengajaran yang hendak disampaikan.
Pengajaran yang aku dapat dalam filem ini:
Solat Lima Waktu
Solat adalah tiang agama. Kita wajib solat tanda kita bersyukur atas kehidupan kita. Jangan sesekali mengaitkan solat dengan ujian yang diturunkan Allah.
Percaya Kepada Ketentuan Allah
Aiman tidak redha dan percaya dengan Allah. Dia tidak percaya Allah lagi setelah baginya, dia solat dari kecil tapi masih ditimpa malapetaka dan ujian yang besar yang membuatkan dirinya tidak mahu lagi solat. Kita wajib yakin bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang kehidupan kita. Wajib sentiasa yakin dan bersangka baik dengan Allah.
Bersyukur Nikmat Yang Dikurnia
Aiman yang ada mata tapi sayangnya tidak dapat melihat. Lalu Allah menarik kembali nikmat penglihatan Aiman. Setelah itu, Aiman sedar dan baru dapat melihat segala yang tersurat dan tersirat dalam setiap percaturan Allah. Kita harus bersyukur dengan segala yang dikurniakan. Nikmat datang dalam segala bentuk dan semua manusia mendapat nikmat yang berbeza. Insyallah. Allah akan perkenankan doa kita dengan mengurniakan nikmat yang kita mahu setelah kita benar-benar sedia menerimanya.
Kasihi dan Hormati Ibu Bapa
Ibu bapa adalah insan yang akan mencorak kehidupan anak-anak semasa kecil. Tapi setelah dewasa, anak-anak sendiri yang akan mencorak kehidupan mereka. Sentiasa kasih dan hormat akan ibu bapa kita walau apa pun yang pernah terjadi. Jangan pernah menyimpan dendam dan buruk sangka terhadap ibu bapa. Jagalah ibu bapa semasa mereka sudah tua seperti mana mereka menjaga kita semasa kita kecil.
Jangan Mudah Mengalah
Usaha, doa dan tawakal. Tiga perkara yang sentiasa perlu diamalkan oleh kita. Jangan mudah putus asa. Insyallah. Satu hari nanti akan diberi apa yang kita mahu.
Kalau kita tidak berusaha, Allah tidak akan tolong kita. Dan jika kita berusaha tapi masih sama saja, itu maknanya Allah sedang menguji kita. Dia datangkan ujian dalam bentuk pertanyaan dan kita kena menjawab pertanyaan tersebut dengan jawapan beribadat dan selalu berdoa dan tawakal kepadaNya.
Aku suka dialog terakhir dalam filem ini. Lebih kurang begini dialognya. Tak ingat sebijik dialog tersebut. Mana mungkin aku ingat dialog kan. Hihi.
Nasihat aku kepada semua yang mahu menonton filem ini.
Di awal filem, korang mungkin akan berasa sedikit bosan dan tidak faham dengan jalan ceritanya tapi silalah menonton hingga ke akhir filem. Korang akan faham akan mesej yang hendak disampaikan dalam filem ini dan pasti akan keluar panggung wayang dengan hati yang puas.