Hello ~ a new post in two days 🙂
I’m Yours adalah buku kedua dibaca daripada 19 buku yang dibeli di PBAKL2022. Sememangnya aku menanti nak beli buku baru Anna Lee di pesta buku. Jadi teruslah baca sebelum mood membaca hasil tangkapan PBAKL berlalu pergi.

Title: I’m Yours
Author: Anna Lee
Pages: 383
Publisher/Publication Date: Prolog Media / April 2022
Genre: Keluarga / Cinta
Source: PBAKL2022 / Booth Prolog Media
Synopsis: Goodreads
REVIEW
Apa yang boleh dikatakan untuk karya baru Anna Lee, penulis kegemaran sejak aku membaca Mesej? Karya Anna Lee tidak pernah mengecewakan!
Dalam I’m Yours, cerita dimulakan dengan Soraya yang berpindah ke kampung halaman untuk menduduki vila arwah nendanya. Perjalanan cerita agak perlahan di sini dan menjadi rancak selepas Soraya berkahwin dengan Remi. Cerita di sini klise juga lah, dah kahwin baru bercinta semua biasalah tu kan, cuma proses nak bercinta membuka hati untuk orang lain itu bukanlah satu perkara mudah. Tambah lagi apabila kau baru bercerai kerana lelaki curang, dan berkahwin baru pula dengan lelaki yang mempunyai cerita tidak enak saja.
Sepanjang pembacaan, apa yang menarik minat aku adalah tanda tanya mengenai siapakah Remi yang sebenar? Siapa dia di sebalik penampilan yang tidak semegah itu? Dan yang kedua adalah watak yang paling aku suka iaitu, Jebat 🥰 Anak Soraya yang berumur 8 tahun, banyak tanya, akal cerdik, ceria, berterus terang bila buat salah, dan dialog dia selalu mencuit hati. Terhibur aku 😂 Buatkan teringat juga pada anak saudara aku, Thaqif yang juga dipanggil Jebat sebagai nama gelaran di rumah 🤗
Aku rasa semua pembaca dapat menebak siapa Remi yang sebenar at some point. Apa yang boleh aku katakan adalah penulis bijak dalam mengolah cerita dengan menghubungkan satu demi satu plot untuk membongkar satu rahsia besar yang disembunyi bertahun lamanya. Jadinya, tekaan pasal Remi memang tepat cuma tidaklah aku rasa bangga sangat bila tekaan aku betul. Haha. Banyak lagi cabang lain yang tak terfikir 😮💨
Aku suka akan premis novel ini. Betapa berat pun ujian yang ditempuhi, pasti ada hadiah besar yang bermakna di penghujung ujian tersebut. Seperti apa yang terjadi dalam hidup Soraya. Kalau Henry tak berkahwin lain, Soraya tak akan bercerai, dan tidak lah akan merasa kehidupan yang lebih indah bersama Remi, seorang suami penyayang dan romantik 🥰 Perancangan Allah tak pernah salah dan tepat datang pada waktunya. Babak ucapan terima kasih, best betul! Rasakan lor, bekas madu! Hahaha!
Selain itu, banyak realiti kehidupan yang ditonjolkan dalam novel ini. Antaranya:
1. Isteri yang bergantung harap pada suami semata dalam perkahwinan aka surirumah sepenuh masa. Apabila berlaku penceraian, hidupnya jadi tidak terurus memikirkan rancangan masa depan. Mujur Soraya ada dibekalkan vila bernilai 10 juta.
2. Menilai seseorang daripada luaran semata. Jelas diperlihatkan dengan watak orang kampung terhadap Remi yang berpenampilan selekeh seperti pengemis dadah katanya. Remi dikatakan mempunyai tubuh badan yang agak sasa, dah macam mana penagih dadah memiliki fizikal begitu?
3. Menyebarkan fitnah dan juga talam dua muka. Mak cik Rina, dan Group Whatsapp Para Isteri (Without Soraya). Geram betul aku bila adegan dorang ni masuk! 😠
4. Insan yang menyalahkan orang lain atas keputusan yang dia ambil. Seperti watak yang paling dibenci tahun ini, Henry, yang sesuka hati menyalahkan Soraya apabila dia sendiri yang berkahwin lain tanpa pengetahuan Soraya. Sakit hati betul baca dialog dia. Takde benda yang menyenangkan hati untuk Henry! Hempuk kepala satgi!
5. Penceraian semestinya turut meninggalkan kesan buat anak-anak. Sayu hati membaca mengenai perasaan Mawar dan Jebat.
Menuju ke pengakhiran novel ini, aku sudah mengerti apa yang dimaksudkan dengan “I’m Yours” untuk novel ini. Alahai, aku pun dah sama tergedik macam Mawar 😆
Kata-kata pilihan daripada novel ini:
Kerana bahagia itu tidak datang bersama angin. Bahagia itu akan datang bersama ombak, seperti pesan arwah ibunya, jika bijak bermain ombak, maka bahagialah peluncur air itu.
Tenang itu mahal. Orang berada pun tak mampu beli sebab tenang itu datangnya dari hati yang berserah.
Kita kalau nak makan nasi kena cari nasi dekat dapur, kan? Kalau cari dekat bilik air takkan jumpa nasi tu. Jadi, sama juga dengan hidayah Allah. Allah akan hadiahkan hidayahnya kepada mereka yang mencari. Bukan kepada mereka yang menunggu.
Untuk melakukan perubahan harus bermula dengan langkah semampu kita. Kalau mampu langkah kecil, mulakan dengan langkah kecil. Kalau mampu dengan berlari, mulakan dengan berlari.
RATING AND RECOMMENDATION
My rating: 4.5/5 🌟
Pasangan Soraya dan Remi masing-masing dah berumur 30an, jadi tidaklah nak main tarik tali sangat. Lebih kepada menentukan perasaan masing-masing dan dalam masa yang sama meleraikan segala kekusutan dan rahsia. Sesuai la untuk dibaca oleh mereka yang berumur 30an juga seperti aku 😀 Karya ini juga sesuai dibaca oleh golongan remaja kerana tidak ada aksi terlebih intim dalam novel ini.
Namun begitu, sebenarnya, novel ini harus dibaca oleh semua peminat novel tempatan! Kalau tak pernah baca novel Anna Lee, korang rugi okay!