Aku menonton filem ini semalam bersama Tasha. Mujur sempat kami tiba di Citta Mall sebelum tayangan bermula. Jalan sesak sangat! Sampai di Citta Mall 15 minit sebelum tayangan. Fuhhh, lega sangat bila dah sampai. Hihi. Kalau tidak, berdebar sampai tak senang nak memandu tau.
Filem pertama, Surga Yang Tak Dirindukan, ternyata memberi impak yang besar kepada penonton dan membuatkan penonton tidak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya. Selepas dua tahun, filem sequel kedua bertajuk, Surga Yang Tak Dirindukan 2, kembali menemui penonton dan pastinya peminat tegar SYTD tidak melepaskan peluang untuk menontonnya.
Termasuk aku walaupun aku baru tengok filem pertama pada hari Selasa yang lalu. Hihi.
Filem ini adalah novel adaptasi daripada pengarang Asma Nadia. Aku teringin baca kedua-dua novel ini. Cuma masalahnya, aku tidak tahu nak beli di mana dan yang kedua, aku tidak berapa faham akan bahasa Indonesia. Jadi, takpelah, tengok filem saja sudah cukup ya =)
SYNOPSIS
Setelah pemergian Meirose (Raline Shah) , Arini (Laudya Chintya Bella) dan Pras (Fedi Nuril) hidup bahagia bersama puteri kesayangan mereka, Nadia (Sandrina). Karier Arini sebagai penulis juga semakin meningkat naik dan dia bukan saja terkenal di Indonesia malah di luar negara.
Arini memenuhi undangan ke Budapest, Hungary untuk mempromosikan bukunya. Dia pergi ke sana bersama Nadia dan pengurusnya, Shiela (Nora Danish).
Kisah bermula apabila Arini bertemu Meirose bersama anak lelakinya, Akbar di Budapest. Meirose telah move on ke Budapest dan memulakan kehidupan baru di Budapest. Meirose memiliki kedai sendiri dan mempunyai kekasih hati, seorang doktor tampan bernama Syarief (Reza Rahadian). Meirose berniat untuk bercerai dengan Pras dan bersama Syarief.
Namun niat Meirose bergoyang apabila dia kembali bertemu Pras dan Arini yang tidak mahu Pras menceraikan Meirose.
Ini semua kerana Arini mendapat tahu bahawa dia mengidap kanser serviks tahap empat dan peluang untuk hidup adalah tipis sekali. Dia mahukan Meirose mengantikan tempatnya di sisi Pras dan Nadia.
Ending filem ini menyaksikan siapa yang bakal dipilih oleh Meirose, Pras atau Doktor Syarief?
REVIEW
Sebuah kisah turut menyentuh jiwa seperti filem pertama. Sebuah kisah yang penuh dengan mesej mengenai kehidupan yang cuba disampaikan dan mesej itu berjaya sampai ke hati dan fikiran aku.
Sebuah kisah yang membuatkan aku memikirkan lebih mengenai kematian. Aku tak tahu bagaimana untuk describe my feelings apabila melihat Arini melawan penyakitnya dan dalam masa yang sama berusaha untuk memastikan orang kesayangan yang ditinggalkan hidup dengan bahagia selepas Arini pergi.
Membuatkan aku berfikir, bagaimana nanti bila aku pergi? Bagaimana agaknya kehidupan suami dan keluarga aku setelah aku pergi? Serius. Hanya itu yang bermain dalam kepala aku setelah habis menonton filem ini.
Aku sedih dan menangis semasa babak Arini meninggal. Arini meninggal semasa menunaikan solat jemaah bersama Pras, Meirose, dan Nadia. Sedih sangat masa babak ini. Sangat. Malah mata aku bergenang sekarang semasa menulis review filem ini =(
MESEJ DAN PENGAJARAN DALAM SURGA YANG TAK DIRINDUKAN 2:
Mati Itu Pasti. Benar sekali. Mati itu akan menjemput kita pada waktu yang ditetapkan. Tidak akan pernah lambat atau cepat walau sesaat. Lagi sakit apabila kita sudah tahu bahawa hidup kita tidak lama lagi seperti Arini. Dia tahu akan masa yang dia ada di dunia tidak lama dan berusaha untuk memastikan orang kesayangan yang ditinggalkan di dunia hidup bahagia.
Ujian dan Takdir Allah. Kita harus menerima ujian dan takdir Allah dengan redha. Semua ujian yang Allah bagi pasti ada hikmahnya. Jika Allah menguji kita dengan musibah, ketahuilah bahawa Allah mencintai kita. Allah ingin mendengar suara rintihan kita di dalam doa.
Redha dan Pasrah. Apabila kita redha pada sesuatu yang mengecewakan kita, percayalah bahawa Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak dijangka. Sesuatu yang kita perlu dan Allah lebih mengetahui. Seperti Doktor Syarief yang mengalah dan melepaskan Meirose.
Jodoh Pasti Bertemu. Jodoh itu rahsia Allah. Hadir tidak pernah diduga walau terkadang membuat kita luka dan berair mata. Cuma hanya satu yang pasti kita yakin bahawa jodoh itu Allah yang tentukan, bukan kita. Telah tercatat sebaris nama pasanganmu di Luh Mahfuz. Percayalah. Kalau ada jodoh tidak akan ke mana. Pergilah walau ke hujung dunia, pasti akan bertemu jodoh itu.
LAKONAN
Semua pelakon bijak memainkan watak yang diberi seperti watak ini diciptakan khas buat mereka. Aku paling suka apabila pelakon masih kekal sama daripada filem SYTD.
Selain pelakon utama, pelakon pembantu juga berjaya mencairkan hati penonton dengan sentuhan komedi mereka. Tidaklah filem ini penuh dengan kisah sedih saja kan.
Kemampuan pelakon seperti Reza Rahadian berbahasa Hungary juga fasih dan begitu menyakinkan sekali. Malah Akbar yang kecil itu pun ada berbahasa Hungary walaupun sekejap saja.
Dua watak comel dalam filem ini. Nadia dan Akbar. Nadia comel dan cantik. Kecil-kecil dah cantik tau. Akbar pun comel walaupun watak dia hanya sedikit dalam filem ini. Yang pasti, Akbar comel. Innocent sungguh muka. Hihi.
LOKASI PENGGAMBARAN
Lokasi pengambaran yang sangat cantik bertempat di Budapest, Hungary. Sambil menonton filem ini, boleh berangan seperti kaki sudah melangkah travel ke sana. Hihi. Cantik sangat ❤
Haha. Tak kisahlah apa pun, cara Meirose pakai tudung memang win! Hihi. Dah nama pun orangnya cantik kan, pakailah gaya tudung apa pun, tetap cantik je. Ingatkan masa wedding babak akhir, style tudung berubah. Rupanya masih kekal begitu dan tetap cantik. Hihi.
Aku dan Tasha cuba bayangkan kami pakai tudung style Meirose. Ehhhhh, malu nak bayangkan. Haha.
Korang kena tengok filem ini baru boleh bayangkan fesyen tudung style Meirose 😀
ORIGINAL SOUNDTRACK
Aku suka dua lagu dalam filem ini. Dalam Kenangan nyanyian Kris Dayanti dan Surga Yang Kurindukan nyanyian Laudya Cynthia Bella dan Wafda.
Dalam perjalanan balik dari wayang semalam, aku dengar lagu Dalam Kenangan. Air mata mengalir lagi. Huhu. Lirik lagu yang sangat menyentuh hati.
Kamu biasa denganku
Kamu biasa ada aku
Namun hidup ini jangan berhenti
Hanya bila aku pergi
Kenanglah aku di hati
Kenanglah senyum dan tangisku
Baik dan marahku dan segalanya
Simpanlah saja dalam dalam
Simpanlah selamanya
Dalam Kenangan…
Personally, aku lebih suka akan SYTD berbanding SYTD 2. Namun begitu, kedua-dua filem berbaloi untuk ditonton. Kepada semua peminat SYTD, semestinya SYTD 2 wajib menjadi tontonan anda ❤
Rating: Nora bagi 5 bintang 😀
Sesiapa yang sudah menonton SYTD 2, apa pendapat korang mengenai filem ini?