SaturDate bersama #gengmakan kembali lagi. Nampaknya dua minggu berturut ye 😀
Sudah bertahun aku tidak menonton teater. Semalam, 12 November 2016, aku, Hanis, dan Nadiah pergi menonton pementasan Teater Mak Cun D’walei di Istana Budaya. Sebenarnya kami lupa akan kewujudan pementasan teater ini. Hanis yang suka melihat explore tab di Instagram terjumpa banyak video semasa pementasan teater ini dan membuatkan kami teruja untuk melihatnya. Terus pergi beli tiket selepas habis kerja. Hehe. Tasha dan Syira tak berpeluang ikut serta kerana ada hal lain. Makanya, kami bertiga saja.
Aku dihantar oleh encik suami ke Istana Budaya dan sementara menunggu Hanis dan Nadiah sampai, apa lagi, mestilah ambik OOTD. Haha. OOTD is a must tambah lagi bila ada event seperti ini. Hihi.
![]() |
Okay dah ready. Hee 🙂 |
Outfit Details:
Ash Blue KL City Duckscarf
Premium Lace Insert Shift Dress Zalora
White Palazzo
Blue Handbag
Padini Shoes
![]() |
Suka pokok ni |
15 minit kemudian, Hanis dan Nadiah sampai dan kami terus bergegas masuk ke dalam Istana Budaya. Setahu aku, kita tak boleh masuk lambat ke dalam teater. Kalau persembahan dah bermula, kena tunggu di luar sehingga masa rehat selama 15 minit. Tapi semalam, ada je yang masuk walaupun persembahan sudah dimulakan.
Habis cerita pasal OOTD, mari dengar kisah Mak Cun D’walei pulak 😀
Kepada sesiapa yang mengikuti drama Mak Cun di TV3 pasti sudah tahu akan keseluruhan jalan cerita dalam drama tersebut. Teater muzikal ini adalah kesinambungan daripada drama itu saja.
SINOPSIS
Mak Cun (Eirma Fatima) dan usahawan kampung yang lain bersusah payah dengan perniagaan di bazar untuk bersaing dengan golongan artis iaitu Fathia yang menjual tudung dan Amy Search yang menjual asam pedas phewitt.
Ternyata peminat lebih suka membeli barangan yang dijual oleh artis berbanding barangan yang dijual oleh usahawan kampung. Ini membuatkan Mak Cun dan usahawan sedih dan berusaha untuk meningkatkan mutu produk mereka.
Mak Cun berusaha untuk mendapatkan ramuan rempah ratus terbaik sehingga sanggup terbang ke India bersama Manisah (Umie Aida) untuk memastikan bisnesnya semakin laris di masa akan datang.
Di India, Mak Cun dan Manisah bertemu dengan Rahul (Saim Ali) dan Abam. Syarikat rempah ratus Rahul dan Abam sudah lingkup dan kedatangan Mak Cun dan Manisah diibaratkan seperti bantuan penyelamat kepada mereka.
Rahul dan Abam mengambil keputusan untuk memperdayakan Mak Cun dan Manisah atas dasar “Love Can Make People Blind”.
Akhirnya, Mak Cun dan Manisah tahu mengenai rancangan Rahul dan Abam dan mereka kembali ke Malaysia dengan tangan kosong.
Duit pendahuluan mereka tidak tergadai. Abam dan Rahul memulangkan kembali duit mereka kerana tidak mahu orang luar menganggap India tidak baik dan demi hubungan sesama manusia.
Berterusan dengan kisah cinta, pengakhiran teater adalah babak kisah cinta sama ada Mak Cun menerima atau tidak lamaran Pak Akop (Rahim Razali) yang telah lama memendam rasa terhadapnya.
Bersedia untuk melihat pementasan teater. Tapi sebelum itu, sila nyanyi lagu Negaraku. Semangat aku menyanyikan lagu Negaraku. Sebenarnya, aku tak ingat, bilakah hari terakhir aku menyanyikan lagu Negaraku. Rasa cinta kepada negara apabila menyanyikan lagu Negaraku tetiba muncul dalam diri. Hee.
![]() |
Tiket kami |
REVIEW
BEST GILAAAAA!! RASA NAK BANGUN DAN MENARI HINDUSTAN SEKALI DI ATAS PENTAS.
Hehe. Untuk peminat Bollywood, pasti tertunggu-tunggu akan babak nyanyian. Dan setiap kali babak nyanyian, semestinya semua orang teruja. Best sangat! Ada lapan lagu Bollywood yang dimuatkan dalam teater ini dan semua lagu adalah daripada filem Bollywood yang super best. Antara lagu yang ada adalah Bole Chudiyan (Kabhi Khushi Kabhie Gham), Kuch Kuch Hota Hai, Ye Dil Kya Kare (Dil Kya Kare), Janam Janam (Dilwale), Phir Bhi Dil Hai Hindustani dan Main Shayar To Nahin (Bobby).
![]() |
Babak semasa lagu Janam Janam |
Pentas yang dihias dengan begitu cantik dan sangat bertepatan dengan setiap babak dan jalan cerita. Seperti gambar di atas, babak ketika lagu Janam Janam, kelihatan seperti filem Dilwale pula dengan kain mengerbang. Dan yang meletakkan kain itu di Umie Aida adalah Kcut, adik ipar aku. Aku baru tahu selepas dia cerita. Tak tengok penari, hanya fokus kepada pelakon utama je masa lagu ni. Hee.
Pentas juga diubah seperti dalam filem Bollywood apabila melihatkan gerabak kereta api dan sekumpulan pelakon tambahan yang sangat menggambarkan persekitaran sebenar di India.
Penampilan Amy Search, Fhatia, dan Abam Bocey adalah sangat bersesuaian dan berjaya memantapkan lagi pementasan teater ini. Masing-masing bijak melakonkan watak yang diberi.
Amy Search turut menyanyikan dua lagu iaitu Kerja Gila dan Aku Dah Bosan. Fhatia yang membuat kemunculan pertama dengan menyanyikan lagu Terukir di Bintang, sangat menjadi. Fhatia berjaya membuatkan kami gelak ketawa dengan nyanyiannya yang ‘merdu’ dan gaya bimbo yang terserlah. Haha.
Abam Bocey tidak perlu disangkal lagi kehebatan pelakon lawak ini. Serius lawak! Ada beberapa babak yang dia lupa dialog dan masa tu, sumpah kelakar. Comel di saat Abam lari mengejar Emma Fatima. Comel di saat Abam hanya menyepak begnya di lantai sebab tak boleh nak ambil. Haha. Serius, aku suka Abam! Tahniah kerana berjaya membuatkan seluruh panggung Istana Budaya ketawa dengan gelagat anda.
Aku juga suka lakonan Balkish Semundur Khan. Watak dia sangat menjadi sebagai anak kepada Mak Cun. Dia berlakon tanpa ada perasaan malu. Mai berlakon je dan itu yang membuatkan orang suka. Sangat menjadi watak dia.
Saim Ali, pelakon kacak yang diterbangkan khas dari Pakistan turut berjaya membuatkan kami penonton menonton teater ini sehingga tamat. Saim Ali pandai menari dan berlakon. Sesekali best dengar dia cakap Hindustan.
Banyak mesej berguna yang dibawa sekali dalam kehebatan pementasan teater ini. Semuanya berjaya masuk ke dalam hati dan fikiran aku.
Mesej / topik menarik dalam teater ini:
1. Isu semasa seperti kenaikan harga minyak, tol, dan corak pemikiran politik tempatan.
2. Percaya dan yakin dengan bahan buatan Malaysia. Ditunjukkan dengan kisah Mak Cun ke India dan pulang ke Malaysia dengan tangan kosong. Dalam masa yang sama, Pak Akop telah membuat ramuan rempah ratus dengan penduduk tempatan saja dan ianya disukai oleh Mak Cun.
3. Kisah cinta. Cinta bukan untuk dipersendakan. Cinta perlu lahir ikhlas dari dalam hati. Cinta tidak buta tapi manusia yang buta kerana cinta. Perlu ada akal fikiran juga dalam menafsir cinta. Tapi kadang-kadang bila sudah jatuh cinta secara mendalam, semuanya itu ditolak tepi. Ini ditunjukkan dalam kisah cinta Manisah kepada Rahul.
4. Kita tidak boleh membuatkan orang lain merana untuk kita hidup bahagia. Cara untuk bangkit selepas ditimpa kesusahan adalah dengan usaha diri kita sendiri, bukan mempergunakan dan merosakkan impian orang lain.
5. Semua peniaga perlu mempunyai semangat daya saing yang sihat dalam perniagaan. Tidak dinafikan bahawa artis popular lebih berjaya dalam perniagaan mungkin kerana peminat mereka, tetapi usahawan lain terutama perniagaan kecil perlu bersaing dengan lebih sihat dengan meningkatkan kualiti produk mereka dan juga promosi.
Kepuasan menonton teater sangat berbeza daripada menonton filem. Serius. Dan aku sangat puas hati selepas habis menonton Teater Mak Cun D’walei. Kepuasan melampau! 😀
Penutup untuk teater ini adalah babak lamaran Pak Akop kepada Mak Cun. Dan jawapannya… Sila tunggu Mak Cun 3 di TV3 yang akan mula bersiaran pada bulan April 2017. Nantikan.. =D
![]() |
Booth Fhatia |
![]() |
Mak Cun Corner |